Saturday, 15 December 2018

BAB 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI

PENGENALAN

David M. Traversi (2007) menyatakan bahawa faktor kepimpinan adalah factor yang membezakan antara sesebuah organisasi yang berjaya atau tidak. Hal ini kerana segala keputusan yang dibuat untuk organisasi akan bergantung kepada visi dan misi yang ditetapkan oleh pemimpin dalam sesuatu organisasi. Kepimpinan ialah “satu proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan. Setiap yang terlibat dengan proses interaksi ini boleh dianggap memegang peranan yang tertentu yang membezakan antara satu sama lain. Asas yang membezakan antara satu dengan lain ini ialah pengaruh, iaitu pemimpin mempengaruhi dan pengikut mematuhinya” (Gordon, 955).
Manakala organisasi pula adalah suatu badan yang dianggotai oleh pelbagai individu dengan kelebihan yang pelbagai yang menjalankan tugas dan peranan yang berbeza bagi mencapai matlamat yang sama (Robbins, 2003).

GAYA KEPIMPINAN

1.      Autokraktik

Gaya kepimpinan autokratik banyak memberi arahan dan semua keputusan hanya dibuat oleh dirinya seorang. Pemimpin dengan gaya sebegini sangat mengutamakan hierarki dirinya sebagai seorang yang mempunyai kuasa. Selain itu, pemimpin jenis ini juga cenderung untuk mengawal semua kuasa yang diberikan kepadanya.Segala perancangan, tindakan dan keputusan hendaklah ditentukan olehnya.Selain itu, pemimpin jenis ini tidak berminat melibatkan diri bersama-sama kakitangan bawahannya dalam melaksanakan sesuatu aktiviti, tetapi hanya memberikan arahan. Gaya kepimpinan autokratik ini sudah tidak releven dalam persekitaran organisasi ketika ini. Walau bagaimanapun, ada kalanya gaya ini perlu digunakan sekali sekali terutamanya ketika berlakunya krisis besar di mana keputusan perlu dibuat dengan kadar segera tanpa memerlukan persetujuan banyak pihak (Ismail, 2008).

2.      Demokratik

Pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik merupakan seorang pemimpin yang selesa melibatkan semua pihak dalam membuat sesuatu keputusan mahupun tindakan. Pendekatan yang sering digunakan oleh pemimpin sebegini adalah melalui perbincangan dan mesyuarat di mana akan berlakunya proses penurunan tugas kepada kakitangan bawahannya. Bukan itu sahaja, kakitangan juga akan diberi kebebasan untuk melaksanakan sesuatu keputusan atau tindakan mengikut cara masing-masing. Pemimpin jenis ini beranggapan bahawa tiada apa yang mampu dilakukannya seorang diri, sebaliknya percaya bahawa penglibatan menyeluruh ahli kumpulan adalah kekuatan utama sesebuah organisasi. Melalui pengagihan tugas dan kuasa, semua pihak akan berasa lebih yakin dan berlapang dada dalam menjalankan tugas masing-masing yang mana secara tidak langsung dapat menjamin operasi organisasi berjalan dengan lancar dan berdaya maju (Ainon, 2003). Oleh kerana kepimpinannya bersifat membantu, pemimpin jenis ini akan sentiasa dihormati dan dihargai tanpa mengira waktu dan situasi.

3.      Laissez Faire

Gaya kepimpinan lepas-bebas (Laissez-Faire) pula merupakan sejenis gaya kepimpinan yang memberi kebebasan penuh kepada kakitangannya dalam segenap aspek. Apa yang dipentingkan oleh pemimpin jenis ini adalah pada akhirnya mereka berjaya mencapai matlamat yang telah dipersetujui bersama. Bagaimana keputusan dibuat, atau bagaimana dilakukan, semuanya diberikan kebebasan penuh kepada kakitangan tanpa ada bimbingan dan campur tangan daripada pemimpin. Prinsip yang dipegang oleh pemimpin sebegini ialah kakitangan dilihat sebagai individu yang sudah dewasa dan mampu membezakan baik-buruk atau betul-salah sesuatu perkara. Gaya kepimpinan ini akan menyebabkan sesebuah organisasi itu dilihat seolah-olah tiada pemimpin kerana masing-masing bekerja dan bertindak mengikut cara dan keselesaan masing-masing. Gaya kepimpinan Laissez-Faire sangat tidak sesuai digunakan untuk organisasi yang besar kerana melibatkan proses kerja dan aktiviti yang sangat kompleks selain impak maksimum yang sukar ditangani sekiranya hasil yang diperoleh adalah tidak memberangsangkan. 

4.      Instruksional

Kepemimpinan pengajaran atau kepemimpinan instruksional merujuk kepada satu cara untuk menterjemahkan wawasan ke dalam kurikulum formal dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada melalui strategi pendidikan dan memastikan bahawa rancangan pendidikan dilaksanakan dengan efektif (Abdul Ghani, Abdul Rahman & Mohammed Zohir, 2008). Kualiti kepimpinan instruksional dalam pendidikan adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu pengajaran yang menyeluruh dalam menangani isu, matlamat dan kepentingan pendidikan selaras dengan falsafah pendidikan negara. Pendidikan di Malaysia juga turut mengalami perubahan yang berterusan seiring dengan falsafah pendidikan negara. Semua perubahan yang berlaku mengarah kepada pendidikan yang berkualiti untuk merealisasikan Wawasan 2020 (Aminuddin, 1989). Pemimpin pendidikan seperti pengetua atau guru besar perlu memainkan peranan sebagai pemimpin instruksional dan pada masa yang sama perlu memainkan peranan sebagai pemimpin kurikulum.

5.      Transformasi

Dalam konteks pendidikan, pengamalan ciri-ciri kepimpinan transformasi (karismatik, inspirasi motivasi, stimulasi intelektual dan perhatian individual) oleh ketua sekolah secara positif dapat menunjukkan sikap bertanggungjawab beliau dalam memimpin semua warga sekolah ke arah yang lebih baik. Kesesuaian pengamalan kepimpinan tranformasi di sekolah dapat membantu ketua sekolah menetapkan fokus warga sekolah ke atas matlamat yang ditetapkan dan mengelakkan daripada tersasar dari misi dan visi sekolah.

ORGANISASI SEKOLAH


Gambar 1: Carta Organisasi Kementerian Pendidikan Malaysia


Gambar 2: Carta Organisasi Sekolah

KEPIMPINAN GURU

Bidang Tugas

1.1  Pengetua
Ø  Pemimpin/Ketua
Ø  Pengurus kurikulum dan kokurikulum
Ø  Pengurusan tenga pengajat dan kakitangan
Ø  Pengurusan dalaman dan luaran

1.2  Penolong Kanan
Ø  Mengajar
Ø  Membantu pengetua dalam pengurusan kurikulum
Ø  Bantu dalam pentadbiran harian



1.3  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Ø  Mengajar
Ø  Pengurusan kebajikandan disiplin pelajar
Ø  Kemasukan dan pendaftaran pelajar
Ø  Perhubungan awam tugas-tugas lain

1.4  Penolong Kanan Ko-Kurikulum
Ø  Mengajar
Ø  Pengurusan kurikulum dan kokurikulum
Ø  Perhubungan awam
Ø  Pentadbiran harian
Ø  Tugas-tugas lain

1.5  Guru Bimbingan Dan Kaunseling
Ø  Menyusun program pelaksanaan bimbingan dan kaunseling
Ø  Memberikan khidmat kaunseling kepada pelajar menyusun laporan
Ø  Membuat rancangan tahunan sekolah

1.6  Guru Kelas
Ø  Buku daftar kedatangan
Ø  Pengurusan yuran khas
Ø  Perkara-perkara akademik
Ø  Bantuan kewangan
Ø  Biasiswa
Ø  Tugas-tugas lain

KESIMPULAN

Kepimpinan dan organisasi sangat penting dalam membangunkan sesebuah organisasi yang berkesan. Dalam sesebuah organisasi, amatlah perlu untuk pemimpin dan ahlinya saling bantu membantu. Dalam konteks sekolah, pengetua berperanan sebagai pemimpin, penolong-penolong kanan dan guru serta kakitangan yang lain juga mempunyai peranan masing-masing untuk sama-sama menjadi sekolah sebagai organisasi yang baik.

RUJUKAN:

Abdul Aziz Md. Noor. 2003. An investigation into the headship training programme for                aspiring primary school headteachers.  PhD Dissertation, University of Bristol.

Abdul Ghani Abdullah, Abdul Rahman Abd. Aziz & Mohammed Zohir Ahmad. (2008).              Gaya-gaya kepimpinan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional                    Publishing Sdn. Bhd.

Ainon Mohd. (2003). Teori dan teknik kepimpinan: Panduan aplikasi di tempat kerja         . Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

David M. Traversi (2007), “Eight Drivers of the High-Impact Leader”. Retrieved              September 10, 2008 dari  http://www.leader values.com/Content/detail.asp?ContentDetailID=1308

Gordon, T. (1955) Group-centered leadership – a way of releasing the creative power of               groups, Boston: Houghton Mifflin.

Gunter, H. 2001. Leaders and leadership in education. London: Paul Chapman                  Publishing.

Ismail Mustafa. (2008). Kepimpinan pendidikan: Teori dan amalan. Jitra: Pure Honey                    Entrprise.

Mortimore, P., Sammons, P., Stoll, L. L., & Ecob, R. 1988. School matters: the junior                    years, somerset, open books. Cetakan tahun 1995. London: Paul Chapman.

Robbins, S.P. (2003). Organisational behaviour (10th ed). San Diego: Prentice Hall.




No comments:

Post a Comment

PROGRAM KEPIMPINAN MUDA

Program Kem Kepimpinan Muda. Program ini dijalankan di bawah subjek Pengurusan dan Penilaian Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Kami p...