Aku Hamba Allah

Sepanjang menelusuri arus dunia menuju ke alam kedewasaan, saya pernah melalui satu fasa di mana saya terlalu obses dengan dunia pembacaan.
Bermula dengan buku-buku cerita pendek, buku-buku bersiri yang bertemakan penyiasatan dan seterusnya berganjak pula kepada novel-novel percintaan. Buku-buku ilmiah kerap kali ditolak ke tepi.
Terlalu banyak masa yang telah terkorban semata-mata untuk menyelak helaian demi helaian bagi sebuah buku sahaja.
Sukar untuk digambarkan perasaan ketika itu.
Bagaimana terujanya saya ketika hendak menghabiskan sebuah buku hanya untuk mengetahui pengakhiran sesebuah cerita.
Paling  mendapat perhatian di hati saya ketika itu adalah kisah-kisah cinta yang sering kali memaparkan pertemuan serta konflik  yang cukup mendebarkan hingga sampai ke suatu tahap, saya terbawa-bawa akan watak serta perwatakan yang ada di dalam cerita tersebut ke dunia realiti.
Namun, itu semua hanyalah sementara. Apabila buku baru dibuka, watak dari kisah yang lama dilupakan sedikit demi sedikit. Ibarat batu keras terhakis akibat gigihnya air menghentamnya!
Sudah tentu banyak kisah serta cerita yang mampu mengusik hati ini.
Kadangkala ada kisah yang begitu menjemukan di mana saya tidak mampu untuk membacanya sehingga ayat yang terakhir. Jemunya mengalahkan pembacaan buku teks sejarah yang penuh dengan fakta serta nombor-nombor keramat.
Itulah kisah dahulu. Kisah di mana hanya kad yang bercopkan tarikh penghantaran semula buku-buku cerita serta novel-novel yang seringkali dipenuhkan di dalam kad pinjaman perpustakaan.
Aneh sekali rasanya apabila perasaan minat terhadap pembacaan buku-buku seperti ini semakin pudar sejak berginjak ke usia dewasa kini.
Apatah lagi setelah memasuki dunia universiti yang dipenuhi dan dikelilingi dengan buku-buku yang bersifat ilmiah, sedikit sebanyak menjadi penyebab berkurangnya buku-buku cerita ini menjadi pilihan untuk dibaca.

Penulisan

Dahulu minat saya terhadap dunia penulisan terlalu nipis. Tidak setebal minat terhadap pembacaan.
Namun, minat itu tetap ada, yang mungkin boleh dipandu, sama ada menjadi peluru, menembak hati-hati manusia lalu tembus sedalam-dalamnya atau sekadar mengisi masa terluang, namun pengertiannya hilang!
“Penulis yang baik pasti mampu menyentuh hati orang yang membacanya.”
Jujurnya, saya begitu memahami maksud sebaris ayat di atas tetapi terlalu buntu akan langkah serta tindakan yang perlu diambil agar dapat merealisasikan makna tersebut.
Menulis itu mudah tetapi menyentuh itu belum pasti. Memahami hati yang ingin disentuh bukanlah suatu perkara yang dianggap “kacang” kerana manusia ini tidak boleh dipukul sama rata akan sifat di hatinya.
Menjadi penulis yang baik bukan sekadar betulnya fakta yang diberi, bukan juga sekadar cantiknya gaya bahasa yang diguna, malah lebih daripada itu.
Ia menuntut disiplin yang cukup tinggi dalam kalangan para penulis agar karya yang dihasilkan mampu menyentuh hati para pembaca dan perlulah difahami bahawa perkara ini bukanlah semudah yang dibayangkan bagai kejayaan yang datang bergolek!
Yakni, hasilnya bukanlah dalam sehari dua, tetapi mungkin akan memakan masa yang cukup lama dan ditakuti kita sebagai seorang penulis akan mudah berasa jemu lalu beralih arah dari jalan ini.
 Inilah yang saya dapat lihat berlaku kepada penulis-penulis yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Kurangnya motivasi serta semangat untuk menulis sedikit sebanyak telah membuatkan ramai penulis berhenti dari jalan ini.
Minat yang ada dalam dunia penulisan tidak pula diselarikan dengan minat membaca dalam diri para penulis. Pada hemat saya, membaca dan menulis adalah pasangan yang begitu ideal.
Andai hilang salah satu daripadanya, maka akan terlihat kelompongan terhadap satunya lagi.

Keyboard Warrior

 Jika kita perasan akan perubahan demi perubahan yang berlaku dalam dunia maya, isu “keyboard warrior” sangat hebat menular dalam kalangan pengguna alam maya kini.
Mentaliti pengguna media sosial terhadap perkara ini mudah.
Andai dapat melontarkan pandangan tanpa mengeluarkan suara, maka itu adalah lebih baik berbanding mencabar diri untuk berdiri di hadapan khalayak ramai lalu berhujah menegakkan pendirian sendiri.
Jujurnya, saya begitu sukakan keyboard warrior ini. Namun tidak semua.
Walaupun kegiatan ini mampu mengasah bakat serta minat dalam bidang penulisan, tetapi sekiranya ia bertunjangkan emosi yang tidak stabil, perasaan ego yang meluap-luap, maka penulisan serta pendapat yang diutarakan akan kelihatan jijik dan tidak matang.
Inilah kelemahan utama yang ada pada diri pejuang-pejuang papan kekunci ini. Cukup menyedihkan apabila bakat yang hebat ini tidak terarah dengan pendekatan yang betul dan pengawalan emosi yang seimbang.
 Semuanya ingin menjadi bijak! Semuanya ingin dilihat hebat! Semuanya ingin mempertahankan ego sendiri!
Lalu, siapa pula yang mahu bertolak ansur? Siapa pula yang ingin meencipta kata putus dan mengakar diskusi serta perbincangan pendapat yang baik?
Bukannya hendak menuding jari menyatakan dia yang salah dan saya yang betul. Namun saya lebih tertarik untuk memperbetulkan persepsi kita semua bahawa pahlawan papan kekunci juga tidak semuanya suka bertindak melulu.
Ada yang berhujah setelah memperoleh fakta yang benar serta membuat rujukan terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan.
Namun, apabila muncul pahlawan ego yang hanya ingin menonjolkan kepandaiannya serta tidak mahu mengalah tanpa mempunyai ilmu yang cukup terhadap perkara yang sedang hangat dibincangkan, maka hukuman terhadap keyboard warrior ini dijatuhkan kepada semuanya sekali.

Kesimpulan

Ikatlah ilmu dengan tulisan. Inilah anjuran daripada Nabi Muhammad saw. Alangkah ruginya sekiranya ilmu yang diperolehi tidak ditulis dan dikongsikan kepada semua.
Tidak semua daripada kita mempunyai hafalan yang begitu baik dan mantap. Hatta sahabat-sahabat baginda juga tetap tegar menulis walaupun ilmu mereka sudah penuh di dada serta tersemat kemas di dalam ingatan.
Semaikan sikap suka menulis dan membaca.
Jika bukan untuk kebaikan anda, mungkin untuk kebaikan orang disekeliling anda lalu ia pastinya akan berbalik semula kepada anda dengan peringatan yang telah ditulis. Semakin unik kalam berbicara, semakin tertarik hati pembaca.
Moga istiqamah!

No comments:

Post a Comment

PROGRAM KEPIMPINAN MUDA

Program Kem Kepimpinan Muda. Program ini dijalankan di bawah subjek Pengurusan dan Penilaian Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Kami p...