Saturday, 15 December 2018

BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

1.0 PENGERTIAN SOSIOLOGI

Mengikut Ottoway (1964) di dalam buku yang ditulis oleh Sharifah Alwiah Alsagoff  (1985), Sosiologi Pendidikan, sosiologi adalah satu bidang sains kemasyarakatan. Sosiologi pendidikan ialah sains sosial yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji bidang pendidikan dalam sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain sosiologi pendidikan melihat kepada pendidikan dari perspektif sosiologi.

1.1 PERKEMBANGAN ILMU SOSIOLOGI PENDIDIKAN

 Sosiologi merupakan kajian saintifik tentang masyarakat manusia dan tingkah laku sosial manusia. Tujuan sosiologi adalah untuk menyelidik, mengetahui dan memahami struktur asas masyarakat manusia, faktor-faktor yang menyatukan dan melemahkan kumpulan dan untuk mempelajari keadaan-keadaan yang mengubah kehidupan masyarakat. Ilmu sosiologi juga tertumpu kepada kelompok masyarakat. Sosiologi meneliti pembentukan dan corak perhubungan sosial manusia dalam kelompoknya.
Sosiologi ialah sains kemasyarakatan yang termuda. Sosiologi  asal perkataan Latin sosio bermaksud berkongsi. Sosiologi digunakan oleh Auguste Comte di Perancis di dalam karya bertajuk Positive Philosophy (Falsafah Positif) 1842. Auguste Comte berpendapat bahawa sains kemasyarakatan harus berdasarkan autotiti serta spekulasi. Pada tahun 1876, Herbert Spencer di England menerbitkan karya Principles of Sociology (Prinsip-Prinsip Sosiologi). Karya Herbert Spencer menggunakan teori evolusi kemasyarakatan yang kini sudah tidak diterima lagi. Namun begitu, Herbert Spencer telah mengerakkan sosiologi  sebagai suatu bidang pengkajian. Ahli sosiologi abad ke 20 merupakan pembaharuan sosial. Kebanyakannya bekas paderi atau anak-anak paderi dan hampir semuanya berasal dari luar bandar. Perbandaran dan perindustrian menyebabkan pelbagai masalah sosial dan mereka cuba mencari jalan penyelesaian saintifik. Karya-karya mereka diterbitkan di dalam The American Journal Of Sosiology 1895. Jilid ini mengandungi syor-syor penyelesaian masalah sosial tetapi sedikit sekali tentang penyelidikan yang menguji sama ada syor-syor tersebut dapat dilaksanakan.
 Di Amerika Syarikat, Lester F.ward menerbit karya Dynamic Sociology (Sosiologi Dinamik 1895) yang menyeru agar kemajuan sosial dibuat secara perbuatan sosial yang cerdik dan pakar-pakar sosiologi harus memberi panduan. Pelopor sosiologi terdiri daripada ahli-ahli falsafah sosial. Mereka membentuk sistem-sistem pemikiran yang begitu luas, tetapi tidak begitu membuat penyelidikan dan tidak menguji bukti serta mengukur sistem-sistem tersebut. Mereka tidak mengumpul dan mengelaskan fakta dan kemudian membentuk teori-teori mereka daripada fakta itu. Sebaliknya, pelapor-pelapor ini memikirkan teori-teori dan kemudian mencari fakta untuk menyokong teori mereka. Mereka menyeru agar penyelidikan dibuat, tetapi tidak begitu membuat penyelidikan sendiri. Mereka memulakan langkah pertama kerana suatu sains sosiologi perlu wujud terlebih dahulu sebelum sains sosiologi dapat dibina seterusnya.
Sosiologi pendidikan lahir daripada penyatuan di antara sosiologi dan pendidikan. Bidang sosiologi pendidikan berkembang secara berasingan oleh para pendidikan dan ahli sosiologi. Disiplin sosiologi pendidikan telah menempuhi beberapa masalah di dalam usaha menetapkan satu identiti.  Sosiologi pendidikan telah lebih dipengaruhi oleh para sosiologi seperti Auguste Comte, Emile Durheim, Herbert Spencer, Edward Ross, Charles Cooley, Albion small dan Lester Ward jika dibandingkan dengan pengaruh para pendidik seperti Horace Mann , John Dewey dan Franklin Bobbit. Pada mulanya bidang ini telah dikaji sebagai Educational Sociology dan merupakan suatu bahagian kajian pendidikan. Pada awal abad iaitu di antara 1914-1926, kajian  Educational Sociology telah berkembang dengan begitu pesat sekali.
Pada tahun 1930an, jurnal-jurnal sosiologi telah banyak mengandungi penyelidikan. Sejak itu sosiologi mula menjadi suatu bidang pengetahuan saintifik dengan teori-teori yang berdasarkan pemerhatian saintifik dan tidak lagi berdasarkan syor-syor yang dibuat tanpa penyelidikan. Namun begitu kira-kira pada tahun lima puluhan , sosiologi pendidikan tidak begitu hangat lagi, malah menjadi terlalu dingin. Hakikat ini disebabkan oleh kurang minat dan perbalahan di antara para pendidik dan para sosiologi.
 Kini, beberapa isu telah membawa kesan pendidikan sosial bersama. Hal ini telah membangkitkan minat dan kepentingan sosial pendidikan menjadi lebih hangat semula jika dibandingan dengan awal abad dahulu. Isu-isu penting ini membuka jalan untuk para sosiologi dan para pendidik membincangkan semula. Perkara yang sering dikaji ialah isu tentang kebangkitan birokrasi dan teknologi, peranan kerajaan di dalam pendidikan, jenayah, dadah dan delinkuensi, pertumbuhan metropolis, kelas sosial, bangsa, etnik, kemajmukan kebudayaan pencapaian murid, kecerdasan akal, ketidaksamaan sosial dan sebagainya. Perhubungan di antara  sosiologi dan pendidikan diakui  dan dikukuhkan lagi. Begitu juga dengan minat  di kalangan para sosiologi tentang bidang sosiologi pendidikan sebagai pengetahuan yang bersatu telah dibangkitkan juga.
Pada masa ini, kajian sosiologi pendidikan sangat aktif. Bidang sosiologi pendidikan tidak mungkin diambil alih sepenuhnya oleh pendidik seperti masa dahulu. Isu-isu pendidikan kini dapat dianalisa dan diterangkan dengan lebih baik dan lebih bermakna dengan menggunakan pengetahuan sosiologi dan pengetahuan pendidikan. Hal ini akan menyebabkan sosiologi pendidikan terus mantap dan berkembang pada masa akan datang.

1.2 PENDEKATAN KAJIAN DALAM SOSIOLOGI PENDIDIKAN

Pendekatan kajian dalam sosiologi pendidikan terbahagi kepada dua aspek iaitu pendekatan mikro dan pendekatan makro. Pendekatan makro berkait rapat dengan teori-teori dalam sosiologi pendidikan iaitu teori fungsionalisme dan teori konflik manakala pendekatan mikro pula berkait rapat dengan teori interaksionisme.

PENDEKATAN MAKRO

Ahli sosiologi mengkaji peristiwa yang berlaku dalam masyarakat dengan mengkaji secara makro iaitu bagaimana perlakuan sosial manusia dipengaruhi oleh masyarakatnya. Sebagai contoh kajian ini meninjau tentang pandangan pengguna perpustakaan di negara Malaysia. Kajian jenis ini memerlukan responden yang mewakili keseluruhan pengguna perpustakaan. Maka pengumpulan data perlu dijalankan secara makro untuk melihat sejauh mana perpustakaan menolong pengguna dan adakah perpustakaan menyediakan keperluan pengguna dan apakah halangan penggunaannya. Ia melibatkan soalan kaji selidik (questionnaire).

Teori Fungsionalisme

Masyarakat selalu dianggap seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian-bahagian dengan fungsi-fungsi yang tersendiri. Teori fungsionalisme memberi penjelasan mengenai organisasi sosial dan menerangkan bagaimana sesuatu organisasi itu dipertahankan. Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan keharmonian masyarakat. Pengkaji-pengkaji telah merumuskan tiga andaia iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan.
Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses yang diadaptasikan daripada struktur sosial kepada pembaharuan. Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa mesti memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah jenayah yang wujud di kalangan remaja pada masa kini untuk memastikan suasana di dalam dan di luar sekolah lebih harmoni. Teori ini biasanya digunakan secara survey atau tinjauan yang telah disediakan berdasarkan kaji selidik (questionnaire). Teori ini banyak digunakan di institusi atau sekolah-sekolah di Malaysia.

Teori Konflik

Apa yang tidak boleh dijawab oleh teori fungsionalisme akan dijawab oleh teori konflik. Teori konflik ini menganggap bahawa akan berlaku permasalahan di antara individu dan kumpulan-kumpulan di mana mereka akan cuba untuk mempertahankan idea atau pendapat masing-masing. Melalui pendekatan ini , pengkaji dapat mengkaji secara tinjauan (survey) yang akan ditanya berdasarkan soalan kaji selidik (questionnaire) yang telah disediakan. Terdapat beberapa konflik yang selalu menjadi masalah di sesebuah institusi iaitu sebagai contohnya guru diarah melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka timbullah konflik di antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang di arah. Manakala bagi pelajar pula mereka di tekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan ini telah merampas sebahagian usia kanak-kanak. Mereka masih ingin bermain dengan rakan sebaya. Maka tercetuslah konflik ke atas jiwa kanak-kanak tersebut. Jadi dengan menggunakan pendekatan makro ini, para pengkaji dapat mengetahui apa masalah yang selalu timbul dalam jiwa masyarakat.

PENDEKATAN MIKRO

Ahli sosiologi mengkaji peristiwa yang berlaku ke atas individu dalam masyarakat dengan berasaskan sudut pandangan individu tersebut. Pendekatan ini digunakan dalam teori interaksionisme. Kajian yang menggunakan pendekatan mikro selalunya menggunakan kaedah berbentuk kualitatif iaitu melalui pemerhatian dan temu bual secara individu. Sampel kajian selalunya kecil dan terdiri dari sebuah darjah dan sebuah sekolah sahaja.


Teori Interaksionisme
Lebih memfokuskan kepada proses di mana pengkaji akan mengkaji seorang responden sahaja dan hanya di sebuah sekolah yang dipilih sahaja. Pendekatan mikro merupakan sistem yang bukan dipaksa kerana ia mempunyai kebebasan tersendiri terutamanya dalam menginterpretasikan pendapat sendiri dalam sesuatu situasi. Mana-mana kumpulan bebas menyuarakan pendapat masing-masing. Teori ini menekankan pendapat responden dan bukan dari pendapat pengkaji itu sendiri. Temu bual ini dijalankan secara mendalam dan lebih terperinci (face-to-face) bersama responden yang dipilih tersebut. Pendekatan mikro ini jarang digunakan di institusi dalam mengatasi masalah-masalah di sesebuah institusi kerana setiap institusi lebih menekankan kepada pendekatan makro.
Terdapat beberapa aspek yang boleh dititikberatkan dalam menggunakan pendekatan mikro iaitu simbol, perkataan dan bahasa. Dalam teori interaksi simbol, pendekatan yang digunakan berkaitan dengan individu dan emosinya. Kajian mendapati individu, emosi, perlakuan dan tindak balas mereka di analisa melalui interaksi sesama individu dalam proses sosial mereka. Interaksi yang dilalui hari–hari dapat menjana pemahaman dan peranan individu itu kerana dalam interaksi mereka banyak menggunakan simbol – simbol, tanda – tanda, isyarat dan kata – kata. Melalui interaksi simbol ini, individu akan memperlihatkan emosi sama ada suka atau duka, gelisah atau tenang (melalui perlakuan fizikal), mimik muka dan kata–kata. Kemudian mereka mengintepretasi situasi, bertindak dan mencipta serta mengubah sesuatu situasi itu kepada situasi yang mereka kehendaki. Dari aspek perkataan contohnya, simbol atau simbolik itu dipenuhi dengan kiasan. Kadangkala terlalu banyak kiasan boleh menimbulkan kekeliruan dan konflik dalam masyarakat kerana tidak semua perkataan bentuk kiasan di fahami, dinilai dan diterima secara saksama antara individu dalam satu situasi itu. Seperti contoh untuk menerangkan suatu kesalahan itu, guru berkias agar pelajar tidak berasa sakit hati dengan teguran guru. Namun begitu tidak semua pelajar akan beranggapan begitu. Dari aspek bahasa pula, boleh dikatakan bahasa Melayu menggunakan banyak simbol dan simbolik terutamanya dalam bahasa Melayu klasik, di dalam puisi, dalam ceritera dan hikayat Melayu klasik dan kitab–kitab lama. Simbol–simbol dalam interaksi banyak digunakan dalam sekolah kerana ia digunakan untuk menganalisa secara terperinci mengenai individu pelajar dan emosi mereka agar perlakuan dan tindak balas pelajar mengenai sesuatu situasi itu boleh diramal.

1.3 TEORI-TEORI DALAM SOSIOLOGI PENDIDIKAN

Perspektif teori digunakan oleh saintis untuk menyediakan penghuraian yang logik mengapa kejadian-kejadian berlaku dan bagaimana ianya boleh berlaku (Ballantine 1989). Teori menjadi pemandu untuk meneliti bagaimana dunia sosial beroperasi. Interpretasi teori mungkin berlainan dalam membincangkan data-data yang sama. Teori-teori umum sosiologi pendidikan masih terbahagi kepada makro dan mikro dan terdapat tiga aliran yang utama iaitu:
·         Teori struktul fungsionalisme
·         Teori konflik
·         Teori interaksionisme


  TEORI  FUNGSIONALISME

Ia menjelaskan bahawa ahli masyarakat dan intitusi dalam sesebuah komuniti itu saling bergantung antara satu sama lain. Contoh yang kita dapat lihat ialah, pelajar akan bergantung pada guru untuk mendapatkan ilmu, guru bergantung pada kurikulum yang akan mereka gunakan untuk mengajar dan kurikulum ini dibentuk oleh mereka yang bertugas di Jabatan Kurikulum. Ia berfungsi untuk memastikan masyarakat itu bergerak. Tujuan ia adalah untuk mencapai keharmonian dalam masyarakat untuk kestabilan negara. Pendekatan fungsionalisme boleh disamakan seperti bahagian anggota badan yang mempunyai peranan masing-masing dan setiap anggota itu bergantung di antara satu sama lain untuk berfungsi.
Ahli sosiologis, iaitu Durkheim (1858-1917), adalah orang yang pertama mula mengaplikasikan teori ini dalam kajian yang berkaitan dengan pendidikan. Beliau mementingkan tentang bahagian-bahagian dalam masyarakat yang masing-masing mempunyai struktur dan fungsi tertentu untuk perpaduan dan kepaduan di antara mereka dan ia akan menggerakkan masyarakat tradisi kepada masyarakat moden.
Andaian teori fungsionalisme:
·         Segala yang dilakukan oleh sekolah dipersetujui oleh semua pihak dalam masyarakat.Melalui persetujuan inilah wujud keadilan dan keharmonian dalam sistem persekolahan,hubungan baik di antara murid dan guru, dan ibu bapa dan sekolah.
·         Semua pihak yang terlibat dengan pendidikan akan berkejasama untuk mencapai kestabilan dan keharmonian masyarakat.

      TEORI FUNGSIONALISME DALAM PENDIDIKAN

Fungsi utama sekolah ialah menyampaikan ilmu pengetahuan dan tingkah laku yang dikehendaki untuk memastikan kesejahteraan ahli masyarakatnya. Mengikut teori ini,tugas utama pendidikan ialah untuk mensosialisasikan kanak-kanak dengan norma, nilai-nilai dan peraturan yang terdapat dalan sesebuah masyarakat. Sebagai contoh Durkheim dalam bukunya Moral Education (1961) mengaitkan fungsi sekolah dan hubungannya dengan masyarakat.
Menurut beliau nilai moral merupakan asas peraturan sosial dan masyarakat yang disemai dalam kanak-kanak melalui sistem pendidikannya. Setiap pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu menolong dan menyokong antara satu sama lain untuk memastikan fungsi dan peranan setiap pihak berjalan dengan lancar supaya matlamat yang ditetapkan boleh tercapai bersama. Teori fungsionalisme seterusnya menekankan kepada aspek memilih dan melatih. Mengikut teori ini semua kanak-kanak akan mendpat peluang yang sama untuk menyumbang kepada perkembangan masyarakatnya. Mereka yang berjaya akan mendapat kedudukan paling tinggi dalam hierarki masyarakatnya. Teori ini juga menekankan kepada struktur dan fungsi organisasi.Sebagai contoh,dalam sesebuah sekolah kita dapat melihat bagaimana struktur sekolah dibentuk dan bagaimana setiap ahli dalam sekolah berfungsi untuk memastikan sekolah mencapai visi dan matlamat yang telah ditetapkan. 

 TEORI KONFLIK
Teori konflik ini menganggap bahawa akan berlaku ketegangan di antara individu dan kumpulan-kumpulan dalam sesebuah masyarakat untuk bersaing mendapatkan kepentingan masing-masing. Mengikut Karl Marx terdapat kumpulan “berada” dan “tidak berada” dalam masyarakat yang sering bertelagah. Keadaan ini berkemungkinan akan berlakunya perebutan di mana golongan atasan akan menguasai kuasa, kekayaan, kebendaan,k ehormatan dan berpengaruh. Manakala pihak bawahan akan sentiasa mencabar pihak atasan untuk mendapatkan bahagian mereka.

andaian teori konflik:
·         Konsep dialektik bermaksud evolusi bukan merupakan proses utama kepada perubahan sosial tetapi sebab utama yang menghasilkan perubahan sosial ialah konflik.
·         Determinisme ekonomi pula bermaksud asas kepada perubahan sosial adalah ditentukan oleh persaingan-persainagan ekonomi.
·         Aktivisme sosial bermaksud tugas utama analisis sosial adalah kritikan

      TEORI KONFLIK DALAM PENDIDIKAN

Max Weber (1964-1920) adalah orang yang mengaitkan teori konflik dengan pendidikan.B eliau mengaskan bahawa fungsi utama sekolah ialah untuk mendidik pelajar tentang status budaya. Hubungan di antara kuasa dan kepentingan akan menimbulkan konflik di antara individu dan kumpulan, ia akan mempengaruhi sistem pendidikan dalam masyarakat tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa dalam sekolah terdapat “orang dalam” yang mana status budayanya diperkukuhkan melalui pengalaman sekolah, manakala “orang luar” berdepan dengan halangan untuk mencapai kejayaan mereka di sekolah. Sekolah berfungsi memberi latihan tentang sikap, tingkah laku, kemahiran, intelektual dan sosialisasi.
Mengikut ahli yang mengkaji teori konflik jawatan berstatus tinggi dalam masyarakat akan dikuasai oleh mereka yang berasal daripada keluarga sosioekonominya tinggi manakala jawatan berstatus rendah pula dipegang oleh mereka yang datang daripada keluarga yang tahap ekonominya rendah. Teori konflik menunjukkan bahawa wujudnya pelajar adalah untuk mengisi susun lapis masyarakat.Susun lapis ini wujud mengikut kedudukan sosioekonomi keluarga mereka. Randal Collins ( Collins, 1971) fokus kepada masyarakat hari ini yang mementingkan “credential” iaitu satu alat pengukur untuk mencapai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Mereka yang datang daripada keluarga yang berpengaruh pasti akan menikmati keistimewaan ini untuk mendapat jawatan tinggi dalam masysarakat.
Konflik sering berlaku dalam sekolah di antara ahli-ahlinya. Contohnya guru diarah melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka timbulah konflik di antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang di arah. Manakala bagi pelajar pula mereka di tekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan ini telah merampas sebahagian usia kanak-kanak. Mereka masih ingin bermain dengan rakan sebaya. Konflik yang tercetus dalam jiwa kanak-kanak hari ini telah menbuat mereka terpaksa menerima tekanan dan sekiranya gagal mereka dilabelkan sebagai pemalas dan lembap.

TEORI INTERAKSIONISME

Teori interaksi simbolik adalah teori yang bersifat mikro. Perspektif teori ini mengkritik teori fungsionalisme dan konflik kerana terlalu bergantung kepada pendapat bahawa manusia keseluruhannya dibentuk oleh sistem sosial. Bagi teori interaksionisme, manusia tidak pasif dan menekankan bahawa interaksi sosiallah yang menbentuk realiti. Teori ini telah diperkenalkan oleh seorang pengkaji yang bernama George Herbert Mead (1863-1931). Manakala ahli yang menerapakn teori ini dalam pendidikan ialah David Hargreaves dalam bukunya yang berjudul “Intepersonal Relation And Education”.
Teori ini lebih menfokuskan kepada meneliti makna-makna yang dibentuk oleh masyarakat yang terlibat terutamanya guru dan murid. Mereka juga melihat kepada aspek organisasi sekolah yang membentuk realiti sosial dan tidak melihat bagaimana masyarakat mempengaruhi sekolah. Contohnya, mereka akan mengkaji bagaimana murid mempunyai perangai tidak baik di sekolah dengan melihat cara murid berinteraksi dengan guru. Kelakuan tidak baik itu tidak dikaitkan dengan latar belakang kelas sosial dalam masyarakat. Blackledge dan Hunt (1985) telah menggalurkan beberapa andaian yang selalu digunakan oleh perspektif mikro. iaitu:
Aktiviti harian: Kita mesti melihat aktiviti harian kerana semua aspek kehidupan manusia melibatkan aksi-aksi kehidupan seharian. Sistem pendidikan dihidupkan oleh aktivit-aktiviti yang dilakukan setiap hari oleh guru-guru, murid-murid, pentadbiran dan seumpamanya. Perubahan dalam pendidikan adalah hasil daripada aktiviti harian.
Kebebasan: Aktiviti harian bukan merupakan sesuatu yang dipaksakan oleh masyarakat tetapi aktiviti-aktiviti yang kita lakukan masih mempunyai autonomi dan kebebasan yang tersendiri.
Makna: Setiap perlakuan manusia mempunyai makna yang tersendiri kepada si pelakunya. Makna bukan diberi oleh budaya tetapi dibentuk daripda budaya oleh si pelakunya.
Interaksi: Aktiviti harian jarang merupakan aksi persendirian semata-mata tetapi ianya melibatkan interaksi dengan orang lain. Misalnya apabila guru menyoal, murid mungkin mengangkat tangan untuk menjawab. Guru perlu menginterpretasi makna angkat tangan tersebut, sama ada murid mengangkat tangan ingin menjawab soalan, tidak faham, ingin mengelak diri atau tidak mahu dianggap bodoh.
Rundingan: Makna dan interpretasi bukanlah sesuatu yang statik dan tidak berubah. Manusia selalu mengubahsuai pandangan mereka. Mereka selalu berkongsi pemahaman.Perkongsian ini diperolehi melalui proses rundingan.
Pendekatan subjektif: Kita perlu menginterpretasi sesuatu aktiviti atau perlakuan mengikut kaca mata si pelaku itu sendiri.
Berdasarkan apa yang telah saya baca, memang terdapat perbezaan yang jelas antara teori-teori. Sebagai perbandingan didapati bahawa perkara yang diutamakan oleh ahli-ahli fungsionalisme dan konflik ialah bagaimana cara untuk menyatukan masyarakat dan bagaimanakah perubahan sosial berlaku. Manakala ahli-ahli teori interaksionisme simbolik lebih menumpukan proses hubungan bersemuka individu dalam konteks kehidupan sosial. Dengan kata lain penganalisisan mereka berbeza daripada aspek makro dan mikro.

RUJUKAN:

Amir Hasan Dawi (2002) penteorian sosiologi dan pendidikan (edisi kedua). Tajung Malim : Quantum Books
Amir Hasan Dawi, 2006,Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan Edisi ketiga, Quantum Books,Tanjong Malim
Ballantine, J.H. (2001). The Sociology of Education: A Systematic Analysis. New Jersey: Practice Hall
Banks, O. (1968) . The sociology of Education . New York. Schocken Books.
 Brookover, W.B. (1949). Sociology of Education: A definition. American sociological Review

Sharifah Alwiah Alsagoff. ( 1985 ). Sosiologi Pendidikan Petaling Jaya , Selangor : Heinemann Educational Malaysia.

No comments:

Post a Comment

PROGRAM KEPIMPINAN MUDA

Program Kem Kepimpinan Muda. Program ini dijalankan di bawah subjek Pengurusan dan Penilaian Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Kami p...